Future

Future

Saturday, 14 December 2013

APAKAH ITU SYIAH ???

ISU SYIAH 

sejauh mana kita tahu pasal syiah ??

artikel dan kajian ini ana ambil dari penulisan Naqib ana yang coretkan tentang SYIAH !!!




1.0              PENGENALAN
Shiah ialah satu mazhab yang mendakwa Saidina Ali sebagai pengganti Nabi Muhammad SAW yang sah dan lebih utama daripada para sahabat lain. Golongan Shiah merendah-rendahkan kedudukan para sahabat Nabi serta mengkafirkan mereka terutamanya tiga Khulafa’ al-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar RA dan Saidina Uthman RA. Ringkasnya, Shiah memperkatakan sesuatu yang tidak layak serta merendahkan kedudukan Khulafa al-Rasyidin RA, para sahabat dan sebahagian isteri-isteri Nabi. Inilah perkara pokok yang membezakan golongan Shiah daripada golongan-golongan Islam yang lain terutamanya Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Melihat kedudukan di Malaysia pula, langkah yang bertepatan telah diambil oleh pihak Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri antaranya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan mengeluarkan fatwa pengharaman Shiah ([1]) pada 14 Februari 1998 yang menyatakan seperti berikut:
“Fahaman dan ajaran Shiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fahaman dan ajaran ini perlu disekat keseluruhannya. Terdapat beberapa percanggahan di dalam fahaman tersebut sama ada dari sudut akidah, syariah dan lain-lain”.
            Umat Islam hari ini bukan hanya ketinggalan daripada pelbagai sudut, malah juga diancam daripada pelbagai sudut. Antaranya ancaman Shiah ini yang pada hari ini telah berada pada tahap yang sangat kritikal. Mereka bergerak laju bagi menyebarkan fahaman sesat ini di seluruh dunia. Tanpa disedari, telah ramai pengikut yang terpedaya dengan fahaman ini. Sehubungan dengan itu, penulis ingin merungkaikan fahaman Shiah ini yang telah dibahaskan dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah cukup bagi membuktikan bahawa mereka ini jelas sesat.

2.0       KONSEP DAN PENGENALAN

2.1       Definisi Shiah Dari Segi Bahasa
Kalimah Shiah dalam bahasa Arab bermaksud pengikut, penganut, penolong atau golongan [Zakaria Daud 1996: 13]. Banyak ayat-ayat al-Quran yang menggunakan kalimah Shiah menurut maksud ini. Antaranya ialah :
ثُمَّ  لَنَنزِ عَنَّ مِن كُلِّ شِيعَةٍ أَيُّهُمْ عَلَى الرَّحْمَنِ عِتِيَّا .
Maksudnya: Kemudian   pasti  akan  Kami  tarik  dari  tiap-tiap golongan(Shiah)  siapa  di antara  mereka   yang sangat  derhaka  kepada  Tuhan  yang  Maha  Pemurah
[Al-Quran 19: 69].

فَوَجَدَ فِيهَا رَجُلَيْنِ يَقْتَتِلَانِ هَذَا مِنْ شِيعَتِهِ وَهَذَا مِنْ عَدُوِّهِ فَاسْتَغَثَهُ الَّذِى مِنْ شِيعَتِهِ عَلَى الَّذِى مِنْ عَدُوِّهِ .
Maksudnya: Maka didapatinya di dalam kota itu ada 2 orang lelaki yang sedang berkelahi; seorang daripadanya dari golongannya (Shiahnya-Bani Israil) dan seorang lagi dari musuhnya (kaum Firaun). Maka orang yang dari golongannya meminta pertolongan kepadanya untuk mengalahkan orang yang dari musuhnya [Al-Quran 28: 15].

Menurut Ibn Duraid pula, Shiah ini ialah “Fulan daripada Shiah fulan” memberi maksud fulan adalah dari mereka yang sependapat dengannya. Dalam bentuk kata kerja pula, شيّع bererti menyokong. Kata kerja  شيّعjuga bererti menolong dan bergabung [Ibn Duraid 1987: 63]. Al-Azhari pula menyebut bahawa, Shiah ialah penolong-penolong seseorang dan pengikutnya. Sesuatu kumpulan yang bersetuju dengan sesuatu pendapat atau aliran dipanggil Shiah. Kata jamak bagi Shiah ialah شِيَعَ atau أَشْيَاع. Penggunaan perkataan Shiah pula digunakan untuk menunjukkan makna kumpulan manusia yang saling mengikut satu sama lain. Kumpulan-kumpulan Shiah itu pula adalah beberapa kumpulan yang mana sebahagian mereka mengikut yang lain dan mereka tidak sepakat dalam sesuatu perkara [Al-Azhari 1964: 61].
Al-Jauhari pula berkata, apabila seseorang itu  تَشَيُّعْini bermakna ia mendakwa apa yang didakwa oleh kumpulan Shiah. Semua kaum yang sepakat dalam sesuatu perkara dan mereka mengikut pendapat di kalangan mereka sendiri, mereka dipanggil شِيَعْ. Dzu Al-Rahmat pernah mengungkapkan syair yang menunjukkan bahawa أَشْيَاع membawa makna rakan-rakan [Al-Athrasy 2012: 5].
Ibn Manzur pula berkata, Shiah ialah pengikut dan penolong bagi seseorang. Kata jamaknya ialah شياع atau أَشْيَاعAsal konsep Shiah ialah sekumpulan orang, ia boleh digunakan untuk bilangan satu, dua atau ramai samada lelaki atau perempuan. Walaubagaimanapun, lafaz ini digunakan dengan meluas untuk menunjukkan kepada penyokong-penyokong Saidina Ali dan ahli keluarganya sehinggalah lafaz ini bertukar menjadi kata nama khas. Apabila disebut, fulan dari golongan Shiah, secara langsung ini bererti dia ialah salah seorang daripada penyokong Saidina Ali dan keluarganya. Ungkapan Shiah ini digunakan kepada sesuatu puak yang mengikut pendapat orang lain selain mereka [Ibn Manzur 1966: 55].
Apabila sesuatu puak menjadi penyokong (Shiah) kepada orang lain, mereka disebut dengan kata kerjaتَشَيَّعَ Apabila seseorang itu mendakwa dengan dakwaan puak Shiah, dia disebut sebagai شَيَّعَ atau شَايَعَ dengan kata terbitan شِيَاعَKata kerja شَيَّعَ bererti mengikut seseorang. Apabila disebut dalam konteks kata kerja fulan يُشَايِعُ seseorang, ini bererti dia mengikut dan memperakukan kedudukan seseorang itu [ibid].
Kalimah Shiah yang digunakan di dalam al-Quran dengan maksud pengikut, penolong atau golongan sebagaimana yang dijelaskan, tiada sebarang hubungannya dengan istilah Shiah yang akan diterangkan nanti [Zakaria Daud 1996: 14].

2.2       Definisi Shiah Dari Segi Istilah

Kalimah Shiah menurut istilah pula ialah merujuk kepada golongan tertentu yang mempunyai fahaman yeng berbeza daripada Ahlu al-Sunnah, di mana mereka menganggap Ali bin Abu Talib lebih berhak menjadi khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW. Kebanyakkan mereka tinggal di Iraq, Iran, Pakistan dan lain-lain lagi [ibid: 14].
Menurut al-Shahrastani, Shiah ialah mereka yang mengikut Ali ibn Abu Talib secara khusus dan mengatakan Ali bin Abu Talib berhak menjadi imam dan khalifah berdasarkan nas dan wasiat daripada Rasulullah SAW, baik wasiat yang terang atau tersembunyi. Mereka juga beri’tiqad bahawa jawatan imamah mestilah daripada keturunan Ali ibn Abu Talib [ibid: 15]. Mereka juga berpegang bahawa imam itu tidak akan beralih tangan kepada selain daripada anak-anak keturunan Saidina Ali. Sekiranya berlaku pemindahan kepimpinan itu kepada selain daripada keturunan Saidina Ali, maka ini merupakan satu kezaliman dari pihak yang menerima kepimpinan itu, atau sebagai suatu pelaksanaan pendekatan taqiyyah dari pihak keturunan Saidina Ali [Al-Syahrastani 1982: 146].
Menurut Abu al-Hasan al-Ash’ari pula, Shiah adalah orang yang mengikut dan menyokong Ali bin Abu Talib dan melebihkannya dari para sahabat Rasulullah SAW yang lain. Ibn Hazm pula mengatakan, Shiah adalah sesiapa yang bersetuju dengan Shiah dan mengatakan bahawa Ali bin Abu Talib adalah manusia yang paling afdal selepas Rasulullah SAW dan lebih berhak menjadi imam, kemudian diikuti selepasnya oleh anak cucunya, maka orang itu dikatakan orang Shiah [Zakaria Daud 1996: 15].
Berdasarkan beberapa definisi di atas, maka bolehlah dibuat kesimpulan bahawa Shiah ini menurut istilah ialah satu kumpulan umat Islam yang melebih-lebihkan Ali dan anak cucunya mengatasi para sahabat Rasulullah SAW yang lain dan menganggap mereka lebih layak memegang jawatan imamah selepas kewafatan baginda Rasulullah.

2.3       Penggunaan Istilah Shiah

2.3.1    Al-Quran
Perkataan Shiah terdapat dalam Al-Quran dan telah diulang sebanyak 12 kali yang mana kesemuanya merujuk kepada hubungan kemanusiaan sesama mereka [Al-Athrasy 2012: 26]. Antara ayat yang mengandungi kalimah Shiah ialah:
وإن من شيعته لإبراهيم
Maksudnya: Dan sesungguhnya Ibrahim adalah tergolong dari Shiahnya (Nuh)
[Al-Quran 37: 83].
إن فرعون علا في الأرض وجعل أهلها شيعا .
Maksudnya: Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak (Syiaan)
[Al-Quran 28: 4].
ولقد أرسلنا من قبلك في شيع الأولين.
Maksudnya: Demi sesungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul-Rasul sebelum kamu (wahai Muhammad), dalam kalangan kaum-kaum (Syiaan) yang telah lalu
[Al-Quran 15: 10].
2.3.2    Hadis

Selain itu, terdapat juga istilah Shiah yang digunakan dalam hadis Rasulullah. Antaranya ialah:
قال الرسول الله صلى الله عليه وسلم لعلى وشيعته:
“إن هذا وشيعته لهم الفائزون يوم القيامة ، انت وشيعتك يوم القيامة راضون مرضيون ، انت وشيعتك يا علي فى الجنة.”
Maksudnya: Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Shiah ini ialah golongan yang berjaya di hari kiamat kelak. Wahai Ali! Pada hari pembalasan kamu dan Shiahmu akan datang menghadap Allah dalam keadaan disukai dan menyukai, kamu dan Shiahmu masuk ke dalam syurga
[At-Tabrani 1968: 319].

3.0       SEJARAH KELAHIRAN

Sejarah Shiah ini bermula apabila tragedi terpecahnya pintu fitnah yang disebut Rasulullah sebagai Umar Al-Khattab. Sebagaimana dapat dilihat daripada hadis baginda Rasulullah yang telah diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Huzaifah yang bermaksud [Muhammad Rabie’ 1998: 26] :
“Umar berkata: Aku inginkan cerita tentang fitnah yang datangnya bergelombang bagaikan gelombang ombak laut. Balas Huzaifah: Tidak ada urusan ke atasmu wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya antara kamu dan fitnah itu terdapat pintu yang terkunci.
Kata Umar: Adakah pintu itu nanti akan terpecah atau dibuka? Jawab Huzaifah: Tidak. Bahkan ianya akan terpecah. Jawab Umar: Sekiranya demikian, maka pintu itu tidak akan tertutup selamanya. Kata Huzaifah: Benar. Kami pun bertanya kepada Huzaifah: Adakah Umar mengetahui siapakah yang dimaksudkan dengan pintu itu? Jawab Huzaifah: Ya, sepertimana beliau mengetahui bahawa setelah malam ini akan datang lah esok hari. Dan demikianlah sesungguhnya aku telah menceritakan kepadanya 1 hadis yang tidak termasuk perkara yang merumitkan. Maka kami diminta untuk tanyakan kepada Masruq tentang siapakah pintu ini, maka kami pun bertanyalah kepadanya. Tanya kami: Siapakah pintu ini? Jawab Masruq: Ianya Umar.”
            Dari sini, kita dapat lihat bahawasanya segala ancaman dan fitnah yang berlaku dalam dunia umat Islam adalah bermula selepas kewafatannya sosok tubuh agung Khalifah Umar pada tahun 23H. Sama seperti itu jugalah dihukumkan kepada fahaman Shiah ini.
Bilakah fahaman Shiah ini mula muncul? Sebahagian ulama’ Shiah seperti Syeikh Hashim dan Mihad Al-Hussin telah berpendapat bahawa Shiah ini telah wujud pada zaman Rasulullah dan baginda sendiri yang mengasaskannya. Menurut mereka, golongan Shiah ini lahir semenjak Rasulullah mula berdakwah kepada kaum keluarga baginda [Zakaria Daud 1996: 17], iaitu sebaik sahaja turunnya surah As-Shuara’: 214 seperti berikut:

وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ .
Maksudnya: Dan berilah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat.
Dakwaan mereka yang mengatakan kelahiran Shiah ini bersama dan serentak dengan kelahiran Islam adalah dakwaan yang tidak berpandukan dalil sahih dan tidak dapat diterima [ibid: 19]. Pandangan ini telah ditolak kerana Rasulullah diutuskan untuk membawa dan melengkapkan ajaran Islam bukannya membawa agenda sesat seperti itu.
Zaman pemerintahan Uthman ibn Affan
Kisah pembunuhan Saidina Umar oleh Abu Lu’luah ini menimbulkan satu persoalan besar tentang siapakah perancang utama yang berbuat demikian. Satu perkara yang aneh, pada setiap 9 Rabiulawal telah dan sentiasa berjalan perayaan yang disambut oleh golongan Shiah ini. Ini bertujuan memperingati perjuangan Abu Lu’luah yang berjaya menikam Umar.
Kemudian dilanjutkan pada zaman Uthman pula, telah berlaku pemberontakan yang akhirnya menyebabkan jiwa beliau terbunuh. Pemberontakan ini telah diketuai oleh Abdullah ibn Saba’. Maka siapakah pula Abdullah ibn Saba’ ini? Ada sebahagian pendapat ulama’ menyatakan, pengasas utama Shiah adalah Abdullah ibn Saba’ yang berpura-pura menganut Islam semata-mata menjadi duri dalam daging umat Islam. Pendapat ini disokong oleh kebanyakan ulama’ Sunni dan Shiah sendiri kerana antara puak-puak Shiah ada yang dinisbahkan kepada namanya iaitu puak al-Sabaiah[Muhammad Rabie 1998: 28].
Satu peristiwa terjadi ketika Abdullah ibn Saba’ pernah sekali berjumpa dengan Saidina Ali ibn Abi Thalib seperti dinukilkan di dalam kitab Mujmal Akaidul Shiah ([2]) :
“Kamulah (Ali) kamulah (Tuhan) , lalu diulang-ulang beberapa kali, maka Saidina Ali berkata : Celakalah kamu (dengan perkataanmu itu), Saidina Ali bertanya : Siapakah aku yang sebenarnya? Lalu Abdullah ibn Saba’ berkata lagi : Kamulah Allah !!! ”.
Abdullah ibn Saba’ bukanlah pengasas Shiah yang pertama, tetapi beliau merupakan pelopor pemusnah di zaman itu, seperti kata Al-Syahrastani:
“Gerakan Abdullah ibn Saba’ bukanlah gerakan merupakan gerakan pertama dalam Shiah sebaliknya golongan tersebut merupakan golongan pelampau Shiah yang pertama. Ini berdasarkan ajarannya banyak menyimpang jauh daripada akidah ahli sunnah waljamaah”.
Abu Zuhrah berpendapat bahawa, golongan Shiah ini telah timbul pada akhir pemerintahan Sayyidina Uthman dan ia semakin berkembang ketika zaman pemerintahan Sayyidina Ali. Hal ini disebabkan, ketika Sayyidina Ali bercampur dengan umat Islam dalam melaksanakan tugas khalifah, kebanyakan para sahabat telah berasa ta`ajjub terhadap kehebatan kepimpinannya dan kelebihan yang Allah kurniakan kepadanya. Maka oleh sebab itu, mereka menyebarkan pemikiran mereka yang ada kalanya melampau dan adakalanya bersifat mu`tadil [Muhammad Abu Zuhrah 1996: 32].
Zaman pemerintahan Ali ibn Abi Talib
Ibn Adim berpendapat bahawa fahaman Shiah ini bermula pada zaman pemerintahan Saidina Ali. Namun, ahli sejarah Islam menolak pandangan ini kerana kalimah Shiah ini telah digunakan sejak awal lagi [Mohamad Ismail tth: 13].
Ekstrimnya Abdullah ibn Saba’ ini terhadap Ali dapat dibuktikan dengan kata-kata yang diluahkannya atas tujuan penyebaran dakyah sehinggakan akhirnya Uthman terbunuh. Pada zaman pemerintahan Ali, telah berlaku peperangan Jamal antara Ali dan Aishah, kemudian peperangan Siffin antara Ali dan Muawiyah sehingga terpecahnya kerajaan Islam kepada 2 iaitu Syam dan Iraq. Sekali lagi, golongan  Shiah ini telah terpengaruh dengan dakyah Abdullah ibn Saba’ bangkit menyokong golongan pro-Ali dan menentang golongan Aishah dan Muawiyah [Zakaria Daud 1996: 24-25].
Seorang ahli sejarah Shiah dalam kitabnya Raudat Al-Safa ada menyebutkan tentang penentangan Abdullah ibn Saba’ terhadap Uthman dahulu dengan katanya:
“Apabila Abdullah ibn Saba’ ini mendapat tahu bahawa di Mesir terdapat ramai penentang yang tidak setuju dengan Uthman, dia lantas pergi ke sana. Di sana dia telah memperlihatkan dirinya sebagai seorang yang berilmu dan bertakwa sehingga dia dapat mempengaruhi dan memfitnah ramai orang. Setelah tipudayanya dipercayai orang ramai, dia mula memeperkenalkan mazhab dan ajarannya. Dia juga berkata: Umat Islam telah menzalimi Ali, merampas hak Ali dan hak khalifahnya. Sekarang kalian semua wajib membantu Ali dan jangan memberi baiah kepada Uthman. Dakyahnya ini diterima penduduk Mesir lalu mereka menentang Uthman” [Ihsan Ilahi Zahir 2008: 36].
Ulamak ahli sunnah dan ulamak Shiah bersepakat bahawa Abdullah ibn Saba’ adalah orang yang pertama menanam benih fikrah dan akidah Shiah. Begitu juga mereka bersepakat mengatakan bahawa Abdullah ibn Saba’ memang seorang yang benar-benar wujud bukan khayalan atau dongeng. Antaranya Saad bin Abdullah al Qummi seorang tokoh ulamak Shiah yang mati pada tahun 301 H mengakui hakikat kewujudan Abdulah ibn Saba’. Ibnu Saba’ adalah orang yang pertama mencela dan melaknat Abu Bakar, Umar, Uthman dan para sahabat RA dan mengatakan tidak ada hubungan dengan mereka. Dia mendakwa Ali yang menyuruhnya berbuat demikian. Al-Qummi juga menyebut berita Abdullah ibn Saba’ mencela Abu Bakar, Umar, Uthman dan para sahabat telah sampai kepada Ali lalu beliau memerintahkan supaya Ibn Saba’ di bunuh, kemudian ditukar perancangan supaya Ibn Saba’ dibuang negeri ke al-Madain [Mohamad Ismail 2012: 12].
Kita telah bentangkan kebanyakan pendapat tentang kelahiran Shiah, serta kita telah membincangkan apa yang perlu dibincangkan. Apa yang dapat dilihat ialah Shiah sebagai suatu akidah dan pemikiran, tidak lahir sekali gus. Ia berkembang mengikut peredaran masa dan melalui beberapa peringkat. Walaubagaimanapun, bibit-bibit kelahiran kefahaman Shiah dan asal usul prinsipnya lahir pada tangan puak-puak Shiah Saba’iyyah melalui pengakuan buku-buku muktabar Shiah sendiri yang mengatakan bahawa Ibn Saba’ adalah orang yang pertama mengatakan wajib bagi Ali RA menjadi imam dan Ali adalah orang yang diwasiatkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk menjadi imam, seperti yang telah disentuh sebelum ini.
Beberapa peristiwa yang terjadi seperti peristiwa Perang Siffin, Majlis Tahkim, pembunuhan Ali dan anaknya Hussain RA, tidak memberi ruang untuk pegangan-pegangan ini berkembang. Semua peristiwa-peristiwa tadi, menyebabkan hati-hati dan perasaan umat Islam menyebelahi ahlu al-bait[Al-Athrasy 2012: 16].
Peristiwa yang berlaku terhadap ahlu al-bait seperti di atas, merupakan faktor yang mendorong kepada kefahaman تشيُّع terhadap ahlu al-bait. Perasaan simpati dan belas kasihan terhadap apa yang berlaku kepada ahlu al-bait adalah perasaan setiap umat Islam. Tetapi musuh-musuh Islam yang menunggu-nunggu peluang telah mengambil kesempatan ini untuk melaksanakan tipu muslihat mereka melalui pintu ini dan menyebarkan pecah belah di kalangan umat Islam. Dengan cara ini, mereka berjaya mencapai matlamat yang tidak mampu mereka capai dengan cara kekerasan dan senjata. Melalui fahaman تشيُّع ini, penganut umat lain, mereka yang sentiasa menunggu untuk menghancurkan Islam dan mereka yang memusuhi Islam menyerap masuk. Mereka mula mengasaskan prinsip-prinsip yang bersumberkan agama mereka dan menghiasinya dengan pakaian-pakaian Islam; sebagaimana yang kita akan lihat dalam tajuk sumber prinsip تشيُّع [ibid 2012: 17].
Kesimpulannya, golongan dan fahaman Shiah ini mula lahir pada akhir zaman pemerintahan Uthman dan mula berkembang pada zaman pemerintahan Ali. Antara faktor yang mendorong kelahirannya ialah usaha dakyah yang dilakukan oleh Abdullah ibn Saba’. Ajaran Shiah ini sedikit sebanyak terdapa pengaruh ajaran Yahudi. Oleh sebab itu, tidak hairanlah kenapa akidah Shiah ini bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam yang sebenar.

4.0       PANDANGAN SHIAH TERHADAP AL-QURAN DAN HADIS
4.1       Al-Quran

Menurut al-Musawi [2007: 109] ulama Shiah beriktikad bahawa al-Quran yang terdapat dalam kalangan umat Islam hari ini adalah kitab yang sudah diseleweng. Seorang ulama hadis Shiah mengumpulkan hadis dan pendapat ulama Shiah berkaitan penyelewengan al-Quran dalam sebuah kitab yang besar berjudul :فصل الخطاب في اثبات تحريف كتاب رب الأرباب
Dr Musa al-Musawi turut menjelaskan bahawa akidah ini memang menjadi pegangan ulama Shiah walaupun mereka tidak begitu ketara membincangkannya kerana terdapat juga sebilangan ulama Shiah menyatakan sebaliknya. Menurut beliau bahawa hadis-hadis mengenai penyelewengan al-Quran direka sewaktu ketiadaan Imam diawal pertembungan dengan Sunnah [Abdull Rahman Mahmood 2013: 7].
Menurut buku Akidah Imamah di Sisi Shiah Isna Asyarah dan Kesan-kesannya Terhadap Pegangan Ahli Sunnah pula [Wan Zahidi 2012: 106], ulama Islam telah ijmak mengatakan bahawa al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya SAW yang terpelihara dengan jaminan Allah Taala, ialah al-Quran yang ada di tangan umat Islam di sepanjang zaman. Sesiapa yang beriktikad bahawa ia telah ditambah, dikurangkan atau diubah dan diselewengkan, maka ia menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam.  Berikut merupakan pandangan ulama Sunni terhadap Al-Quran [ibid]:
Ibn Abdul Al-Bir menyatakan:
وأجمع العلماء أن ما في مصحف عثمان وهو الذي بأيدي المسلمين اليوم في أقطار الأرض حيث كانوا هو القرأن المحفوظ الذي لا يجوز لأحد أن يتجاوزه .
Ulama Islam telah ijmak mengatakan bahawa apa yang ada di dalam mashaf Uthman iaitu yang ada di tangan umat Islam hari ini di mana sahaja mereka berada, ialah al-Quran yang terpelihara dan tidak halal bagi sesiapa pun meninggalkannya”.
Berkata Al-Qadi Ibad dalam “الشفاء” :
اعلم أن من استخف بالقرأن أو كذب به ، أو بشيئ منه ، أو كذب بشيئ مما صرح به فيه من حكم أو خبر أو أثبت ما نفاه ، أو نفى ما أثبته على علم منه بذلك ، أو شك في شيئ من ذلك فهو كافر عند اهل العلم باجماع  .
“Ketahuilah bahawa sesiapa yang mempersendakan al-Quran atau mashaf, atau sesuatu daripadanya atau mendustakan al-Quran atau sesuatu daripadanya atau mendustakan sesuatu hukum atau khabar yang diterangkan dengan jelas atau mensabitkan apa yang dinafi atau menafikan apa yang disabit oleh al-Quran ataupun ia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka ia menjadi kafir dengan ijmak para ulama”.

Ibn Hazm menyatakan :
من قال إن القرأن نقص من بعد موت النبي صلى الله عليه وسلم حرف ، أو زيد فيه حرف أو بدل منه حرف فهو كافر خارج عن دين الإسلام ، لأنه خالف كلام الله عز وجل ، وسنن رسول الله وإجماع أهل الإسلام .
Sesiapa yang berkata bahawa berlaku kekurangan satu huruf pada al-Quran selepas kewafatan nabi Muhammad SAW atau ditambah padanya satu huruf atau ditukar satu huruf, maka sesungguhnya ia menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam,kerana ia telah menyalahi firman Allah Azza Wa Jalla. Hadis-hadis Nabi SAW dan ijmak ulama Islam”.
Berbeza dengan Shiah, mereka mendakwa al-Quran yang ada pada umat Islam hari ini, bukan al-Quran yang diturunkan kepada Nabi SAW. Bahkan mereka mendakwa telah berlaku penambahan, pengurangan dan penyelewengan terhadap al-Quran. Ia dilakukan oleh sahabat-sahabat Nabi SAW. Mereka mendakwa al-Quran yang sebenarnya berada di sisi Imam Mahdi yang ghaib. Al-Quran sebenar akan muncul bersama dengan Imam Mahdi di akhir zaman. Terdapat beratus-ratus riwayat palsu yang disandarkan kepada imam-imam mereka berkaitan dengan penambahan, pengurangan dan penyelewengan terhadap al-Quran, yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Nabi SAW [As-Sobuni 1970: 6].
Pada mereka juga, orang yang mengumpulkan al-Quran seperti yang diturunkan oleh Allah Taala hanyalah Saidina Ali KW. Baginda(Ali) telah menzahirkan sekali sahaja untuk menjadi hujah ke atas para sahabat sebelum menyembunyikannya. Kemudian baginda menyerahkannya sebelum meninggal dunia kepada anaknya al-Hassan. Selepas al-Hussin, seterusnya kepada imam-imam berikutnya sehinggalah sampai kepada Imam Dua Belas yang dikatakan ghaib dan membawa bersamanya al-Quran yang hakiki. “Al-Quran” ini akan dizahirkan ketika kemunculannya yang ditunggu-tunggu itu [Wan Zahidi 2012: 107].
Berikut ialah nukilan tulisan-tulisan ulama Shiah mengenai dakwaan berlaku penyelewengan pada al-Quran [ibid]:
Nikmatullah Al-Jazairi (512 M) menyebut dalam “الأنوار النعمانية” :
إن الأصحاب قد أطبقوا على صحة الأخبار المستفيضة ،بل المتواترة الدالة بصريحها 
على وقوع التحريف في القرأن.

Sesungguhnya ulama Shiah sepakat mengatakan bahawa hadis-hadis yang diriwayat secara luas, malah mutawatir adalah sahih yang menunjukkan dengan terang berlaku perubahan pada al-Quran”.
Abu Al-Hasan Asyarif dalam tafsirnya “مراة الأنوار” menyebut :
إن القول بتحريف القرأن من ضروريات مذهب الشيع
Sesungguhnya pandangan bahawa berlaku perubahan pada al-Quran adalah merupakan antara pegangan yang asas dalam mazhab Shiah”.
Seorang ulama besar mereka Al-Husin bin Muhammad Taqiy An-Nuri At-Tabrasi mengarang kitab khusus bagi membuktikan berlaku perubahan pada al-Quran yang di beri judul:
صل الخطاب في إثبات تحريف كتاب رب الأرباب
“Kepastian kata dalam mensabitkan berlaku perubahan pada kitab “Rab Al-Arbab”.
Dalam mukadimahnya, beliau menyebut :
هذا كتاب لطيف ، وسفرشريف ، عملته في إثبات تحريف القرأن ، وفضائح أهل الجور والعدوان
Ini adalah kitab yang sangat rapi pengolahannya, sebuah karangan yang mulia, aku tuliskan untuk membuktikan berlaku perubahan pada al-Quran dan mendedahkan keburukan golongan yang melakukan kezaliman dan tindakan permusuhan”.

Mengenai cara mengumpul al-Quran pula, Al-Kulaini menyebut riwayat daripada Jaafar katanya:
ما أدعى أحد من الناس أنه جمع القرأن كله كما أنزل إلا كذب ، وما جمعه وحفظه كما نزله الله ألا على والأئمة من بعده .
Mana orang mendakwa bahawa ia mengumpul al-Quran semuanya seperti yang diturunkan, dakwaannya adalah dusta.Tiada setiap yang mengumpul dan memeliharanya seperti yang diturunkan oleh Allah melainkan Ali dan imam-imam selepasnya”.

Al-Tabrasi menyebut dalam kitabnya “فصل الخطاب” satu riwayat daripada Al-Mahdi katanya:

لما انتقل رسول الله من دار الفناء ، وفعل صنما قريش ما فعلا من غصب الخلافة ، جمع امير المؤمنين القرأن كله ووضعه في ازار وأتى به إليهم وهم في المسجد فقال لهم : هذا كتاب الله امرنى رسول الله أن أعرضه عليكم لقيام الحجة عليكم يوم العرض فقال له عمر . فرعون هذه الأمة ونمرودها : لسنا محتاجيني إلى قرأنك فجمع أبو بكر ومن معه القرأن .
Ketika Rasulullah SAW meninggal dunia dan dua berhala Quraisy (Abu Bakar dan Umar) telah bertindak merampas jawatan khalifah, Amirul Mukminin mengumpulkan semua al-Quran dan meletakkan dalam kain lalu membawanya kepada para sahabat ketika mereka berada di masjid. Baginda berkata kepada mereka : Ini kitab Allah. Rasulullah SAW menyuruh aku kemukakan kepada kamu semua untuk menjadi hujah ke atas kamu di hari kiamat. Maka berkata Umar – Firaun umat ini dan Namrudnya:- Kami tidak perlu kepada al-Quran kamu, lalu Abu Bakar dan mereka yang bersama-samanya bertindak mengumpul al-Quran”.
Mengenai sifat al-Quran mereka, Al-Kulaini membawa riwayat daripada Jaafar bin Muhammad katanya :
وإن عندنا لمصحف فاطمة ، وما يدريهم ما مصحف فاطمة مصحف فيه مثل قرأنكم هذا ثلاث مرات والله ، ما فيه من قرأنكم حرف واحد .

Dan sesungguhnya di sisi kami ada mashaf Fatimah apakah yang mereka tahu tentang Mashaf Fatimah? Mashaf besarnya tiga kali ganda daripada al-Quran kamu ini. Demi Allah, tidak terdapat di dalamnya satu huruf pun daripada al-Quran kamu”.
Berikut ini dinukilkan pula contoh beberapa ayat yang menurut Al-Kulaini terdapat dalam al-Quran mereka (perkataan dalam kurungan adalah daripada tambahan mereka) :

“ومن يطع الله ورسوله (في ولاية على والأئمة من بعده) فقد فاز فوزا عظيما” [الأحذاب : 61]
“سأل سائل بعذاب واقع للكافرين (بولاية على) ليس له دافع” [المعارج : 201]
“واهجرهم هجرا جميلا وذرني (يا محمد) والمكذبين (بوصيك) أولى النعمة ومهلهم قليلا” [المزمل : 10-11]

Contoh penyelewengan lain ayat al Quran [Mohamad Ismail 2012: 38]:
إن الله اصطفى ءادم ونوحا وءال إبراهيم وءال عمران على العلمين .
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran melebihi segala umat (pada zaman masing-masing)
 
[Al-Quran 3: 33].
Berdasarkan ayat ini, Shiah telah mengatakan sahabat telah menghapuskan perkataan keluarga Muhammad selepas perkataan keluarga Imran.
يأيها الرسول بلّغ مل أنزل إليك من ربك وإن لم تفعل فما بلّغت رسالته
Maksudnya: Wahai Rasul sampaikanlah apa yang diturunkan Tuhanmu kepadamu, jika tidak engkau menyampaikan apa yang diperintah itu bererti engkau tidak menyampaikan amanahNya
 
[Al-Quran 5: 67].
Berdasarkan ayat ini pula, Shiah mendakwa sahabat telah menghapuskan perkataan Ali selepas perkataan sampaikanlah apa yang diturunkan oleh Tuhanmu kepadamu (tentang Ali).
Memandangkan pendirian mereka yang sedemikian, maka bagaimana pula umat Shiah berurusan dengan al-Quran yang ada pada hari ini? Persoalan ini diperjelaskan oleh An-Nuri At-Tabrasi dalamFaslul Khitob yang bermaksud:
 “Sesungguhnya telah sah daripada imam kita bahawa mereka menyuruh membaca apa yang ada pada mashaf hari ini, tanpa menambah dan mengurangkan sehingga muncul Imam Mahdi yang akan membaca kepada manusia mengikut apa yang diturunkan oleh Allah dan dikumpulkan oleh Amirul Mukminin. Kita dilarang membaca seperti yang diriwayatkan oleh hadis-hadis kerana jika seseorang membaca berlainan daripada apa yang ada dalam mashaf, ia akan terdedah kepada bahaya daripada mereka yang berlainan akidah. Dan menggalakkan tindakan daripada pihak berkuasa, seterusnya mendedahkan dirinya kepada kebinasaan. Oleh itu, imam-imam melarang kita daripada membaca seperti yang diriwayatkan”.
Kenyataan ini mendedahkan bahawa hubungan umat Shiah dengan al-Quran yang ada hari ini hanyalah bersifat sementara sahaja dan dilakukan atas dasar taqiyyah [Wan Zahidi 2012: 109-110].

4.2       Hadis

As-Sunnah adalah sumber utama yang kedua selepas al-Quran yang diijmak oleh ulama Islam wajib berpegang dengannya dalam menentukan hukum syarak. Di sisi Ahli Sunnah, ia bermaksud: Apa yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang terdiri daripada perbuatan, perkataan, dan takrir (perakuan). Tetapi di sisi Shiah, Sunnah bukan sahaja yang terbit daripada Rasulullah SAW, tetapi juga daripada imam-imam mereka yang maksum. Muhammad Reda Al-Muzafar menyebut dalam kitabnya Usul Fiqh:

اما فقهاء الإمامية بالخصوص . فلما ثبت لديهم أن المعصوم من ال البيت يجرى قوله مجرى قول النبي ، في كونه حجة على العباد واجب الاتباع فقد توسعوا اصطلاح السنة الى ما يشمل قول واحد من الموصومين أو فعله أو تقريره ، فكانت السنة باصطلاحهم : قول المعصوم أو فعله أو تقريره  .

“Adapun ulama Fiqh Imamiyah secara khusus. Manakala telah sabit di sisi mereka bahawa setiap Imam maksum daripada Ahli Bait perkataannya sama dengan perkataan nabi daripada segi ayatnya menjadi hujah ke atas sekalian hamba dan wajib diikuti. Maka mereka memperluas Istilah Sunah kepada takrif yang meliputi perkataan setiap Imam maksum. Perbuatan dan juga perakuannya, maka Istilah Sunah di sisi mereka ialah perkataan Imam maksum, perbuatan atau perakuannya”.
Menurut Mohamad Ismail [Mohamad Ismail 2012: 40-41] dalam buku Sejarah, Konsep dan Doktrin Shiah, Shiah meletakkan definisi hadis pada pandangan mereka ialah semua perkataan, perbuatan atau pengakuan daripada al-maksum. Seorang tokoh ulama Shiah berkata: “Sesungguhnya Shiah beriktikad bahawa imam-imam adalah maksum, jadi semua hadis yang terbit daripada mereka adalah sohih, tanpa ada syarat sanad atau rawi sampai kepada Nabi SAW. Hal ini adalah kerana al-Imamah adalah penerus kenabian. Mereka tidak menerima perawi hadis daripada generasi sahabat. Semua sahabat di sisi mereka adalah kafir. Bilamana mereka mengkafirkan sahabat bermakna mereka menolak hadis mereka dan bilamana mereka menolak hadis yang diriwayatkan oleh sahabat bermakna mereka menolak Islam.
Mereka tidak mengambil kira sebagai hadis yang sahih kecuali hadis-hadis yang dinisbahkan kepada Ahlul Bait atau keluarga terdekat Rasulullah SAW sahaja dan beberapa hadis yang diriwayatkan oleh orang-orang yang rapat hubungannya dengan Saidina Ali dalam kegiatan politik [Salahuddin Abdullah 1980: 61-62].
Bagi mereka tiada perbezaan sama ada imam-imam tersebut masih di peringkat umur kanak-kanak ataupun dewasa. Oleh yang demikian mereka menerima apa yang di panggil hadis At-Tauqi’a iaitu jawapan bertulis yang dikatakan datang daripada imam kedua belas masa Ghaibah Sughra. Imam ini dikatakan ghaib ketika umurnya sekitar empat atau lima tahun. Khomeini dalam bukunya Al-Hukumah Al-Islamiyah telah menyebut hadis ini ketika berhujah menegakkan teori Wilayatul Faqihiaitu orang yang layak memerintah umat manusia dalam masa keghaiban imam ialah para ulama Fiqh daripada kalangan Shiah [Wan Zahidi 2012: 111].
Khomeini juga telah menyebut tentang hadis taukiq yang dikatakan daripada imam kedua belas yang bermaksud :
“Adapun hukum mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku, maka hendaklah dirujukkan kepada orang yang meriwayatkan perkataan kami, kerana mereka adalah hujah aku ke atas kamu dan aku adalah hujah Allah”.
Mengenai syarat bagi seseorang rawi (perawi hadis) untuk dapat diterima hadisnya, mereka menambahkan syarat al-iman selain daripada Islam, balighberakal, adil dan teliti. Jika dilihatkan, makna mukmin itu sendiri di sisi Shiah ialah seorang yang berpegang dengan akidah Imamiyah Isna Ashariyah. Maka natijah yang pasti daripada syarat ini ialah hadis-hadis yang menjadi pegangan Ahli Sunnah tidak ada nilai di sisi Shiah [ibid].
Hussin bin Abdul Somad al-Amili (ulama Shiah) menyebut dalam “وصول الأخيار إلى أصول الأخيار” :
فصحاح العامة كلها وجميع ما يروونه غير صحيح
“Maka hadis-hadis sahih di sisi Ahli Sunnah semuanya dan hadis yang mereka riwayatkan adalah tidak sahih”.
Doktor Muhamad Tijani As-Samawi dalam “فسألوا أهل الذكر” menyatakan bahawa kitab hadis Bukhari dan kitab-kitab hadis yang lain (yang menjadi pegangan Ahli Sunah) tidak mempunyai nilai di sisi Shiah. Berasaskan fakta-fakta yang disebutkan di atas, maka persoalan yang mungkin boleh dikemukakan di sini ialah: Adakah di sana ‘lampu ajaib’ yang boleh membantu mendekatkan antara Ahli Sunnah dan Shiah? [ibid].

5.0       PANDANGAN ULAMA AHLI SUNNAH TERHADAP ISU SHIAH

Pandangan dan pendapat para ulama ini telah dipetik daripada buku Hukum Ulama-Ulama Islam Terhadap Shiah [Ibn Umar 1987] :
i)Imam Syafi’e: “Tidak pernah aku melihat golongan menurut hawa nafsu yang lebih penipu daripada golongan Shiah”.
ii)Imam Malik: Apabila ditanya Imam Malik tentang Shiah, maka beliau berkata: “Jangan kamu bercakap dengan mereka dan jangan kamu riwayatkan (Hadis) daripada mereka kerana sesungguhnya mereka adalah penipu”. Dan apabila diceritakan berkenaan golongan Shiah dalam majlis Imam Malik bahawa mereka memaki sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Maka Imam Malik membaca ayat :

محمد رسول الله والذين معه أشداء على الكفار رحماء بينهم تراهم ركّعا سجدا يبتغون فضلا من الله ورضوانا سيماهم في وجوههم من أثر السجود ذلك مثلهم في التورىة ومثلهم في الإنجيل كزرع أخرج شطئه فأزره فاستغلظ فاستوى على سوقه يعجب الزرّاع ليغيظ بهم الكفار وعد الله الذين ءامنوا وعملوا الصالحات منهم مغفرة وأجرا عظيما .

Maksudnya: Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dengan dia bersikap keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih saying sesame mereka. Kamu melihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurnia Allah dan kerehaanNya. Pada wajah mereka Nampak tanda-tanda bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka (yang diungkapkan) dalam Taurat dan sifat-sifat mereka (yang diungkapkan) dalam injil, iaitu seperti benih yang mengeluarkan tunasnya, kemudian tunas itu semakin kuat, lalu menjadi besar dan tegak lurus di atas batangnya; tanaman itu menenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati-hati orang kafir (dengan perasaan marah dan hasad dengki) [Al-Quran 48:29].
Selepas itu berkata Imam Malik: “Sesiapa yang merasa marah apabila membicarakan mereka (Shiah) maka ia telah benar-benar mengamalkan ayat tersebut”
iii)Imam Abdullah Ibn al-Mubarrak: “Agama itu bagi ahli hadis, percakapan dan pengkhayalan bagi ahli falsafah, dan penipuan bagi golongan Shiah.
iv)Imam at-Atthahawi: “Kita semua kasih terhadap sahabat-sahabat Rasulullah SAW dan kita tidak meninggikan kasih terhadap seorang daripada mereka lebih daripada yang berpatutan dan kita juga tidak mensucikan seseorang daripada mereka daripada kesalahan. Kita memarahi sesiapa yang dimurkai oleh Rasulullah SAW kerana kesalahan mereka. Kita tidak menyebut mereka melainkan dengan kebaikan. Kasih kepada mereka adalah daripada agama, iman dan ihsan, dan kemarahan terhadap mereka adalah kufur, munafik dan zalim”.
v)Doktor Mustapha Assibaei : Kaum Shiah itu masih berterusan berpegang teguh dengan apa yang terdapat dalm kitab-kitab mereka tentang penuduhan berat dan gambaran-gambaran yang penuh penopuan dalam masalah perbezaan pendapat antara sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Tujuan mereka dalm mengajak kepada pendekatan adalah seolah-olah pendekatan ahli sunnah kepada mazhab Shiah dan bukannya pendekatan antara satu sama lain antara kedua mazhab itu. Hampir-hampir seorang muslim itu kebingungan ke atas keberanian mereka yang melampau ke atas Rasulullah SAW. Sekiranya tiada diketahui bahawa kaum Shiah itu kebanyakannya berasal dari Parsi yang berselindung kononnya sebagai penyokong-penyokong dan pembela-pembela Rasulullah SAW, nescaya mereka akan terus membinasakan keaslian agama Islam atau sesiapa saja yang masuk Islam tanpa kita sedari atas perbuatan-perbuatan mereka ini mereka tiada upaya meninggalkan kesan-kesan dari agama mereka yang lepas. Oleh itu, mereka telah mengubah agama Islam yang suci itukepada satu agama berbentuk keberhalaan yang tiada beragak-agak untuk membohongi ke atas Rasulullah SAW.
vi)Al-Ustaz Abul Ala Maududi: Beliau telah memuji kitab yang ditulis oleh Muhammad Kazem Habib yang bertajuk Kemurtadan Antara Dahulu dan Sekarang. Apabila menyebut tentang Shiah al-Imamiah al-Ja’fariah, Muhammad Kazem telah mengatakan bahawa mereka itu dalam pada dakwaan kesederhanaan mereka adalah sesungguhnya berenang-renang di dalam kekufuran seperti sel-sel putih berenang dalam darah atau seperti ikan berenang dalm air.
vii)As-Syeikh Mahmud al-Alusi: Dalam tafsirnya “Roh al-Ma’ani”, berkenaan surah al-Fath ayat 29, al-Alusi mengkafirkan kaum Shiah dengan sebab memaki dan menolak sahabat-sahabat Rasulullah SAW dengan berkata : Dalam kitab al-Muwahib terdapat bahawa Imam Malik membuat hukum daripada ayat ini berkenaan dengan kekafiran kaum Shiah yang membenci para sahabat. Bahawa sesungguhnya mereka memarahi sahabat-sahabat dan sesiapa yang memarahi sahabat-sahabat, maka ia kafir. Pendapat Imam Malik ini dipersetujui oleh kebanyakan ulama.
viii)Imam Bukhari: Bagi aku sama sahaja, apakah aku solat di belakang seorang Jahmi (beraliran Jahmiyah) atau seorang yang beraliran Rafidhah atau aku solat di belakang Imam Yahudi atau Nasrani. Dan seorang Muslim tidak boleh memberi salam kepada mereka, mengunjungi mereka ketika sakit, kahwin dengan mereka sebagai saksi dan memakan sembelihan mereka ([3]).

6.0       KARYA SHIAH MENGELIRUKAN UMAT

Tokoh-tokoh Shiah sangat suka mengusik kepercayaan Sunni dengan menerbitkan buku-buku yang mengelirukan. Antaranya buku yang berbentuk pengalaman peribadi seorang pengikut Sunni yang bertukar kepada Shiah. Buku-buku ini telah banyak menipu orang ramai dengan pelbagai maklumat palsu dan pembohongan yang nyata [Umar Muhammad Noor 2013: 27]. Antara bukunya ialah:
- لماذا اخترت مذهب الشيعة مذهب أهل البيت؟ (Mengapa Aku Memilih Mazhab Shiah, Mazhab Ahlul Bait?) karangan Syeikh Muhammad Mar’i Al-Antaki
-  الحقيقة الضائعة(Hakikat yang Hilang: Kisah Perjalananku Menuju Mazhab Ahlul Bait)
karangan Syeikh Mu’tasim Sayid Ahmad Al-Sudani
- ثم اهتديت (Lalu Aku Mendapat Hidayah) karya Muhammad Al-Tijani Al-Samawi
Teknik sebegini sebenarnya pernah dilakukan oleh bangsa Yahudi pada zaman Rasulullah dahulu. Allah merakam ucapan mereka dalam firman-Nya:

وقالت طائفة من أهل الكتاب ءامنوا بالذي أنزل على الذين ءامنوا وجه النهار واكفروا ءاخره لعلهم يرجعون.

Maksudnya: Sekumpulan daripada ahli Kitab berkata : Berimanlah kepada agama Islam yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman pada awal siang, lalu kafirlah pada petang harinya. Mudah-mudahan mereka akan kafir kembali 
[Al-Quran 3: 72] .

            Kemudian Allah membatalkan ucapan mereka ini pada ayat 73 dengan mengatakan bahawa sesungguhnya petunjuk yang sebenar-benarnya ialah petunjuk Allah.
Mereka (Shiah) ini turut berusaha merosakkan kepercayaan umat Islam terhadap hadis Rasulullah dengan mencipta pelbagai dusta. Dalam kitab Shiah yang bertajuk Mausu’ah Al-Asilah Al-Aqaidiyahterdapat riwayat Imam Jaafar Al-Sadiq yang bermaksud: “3 orang yang telah berdusta atas Nabi: Abu Hurairah, Anas dan seorang perempuan”. Seorang perempuan yang dimaksudkan di sini berkemungkinan Aishah RA. Riwayat ini sudah pastinya dusta kerana Imam Jaafar tidak pernah mengucapkan kata-kata seperti ini. Bahkan beliau terbukti meriwayatkan hadis menerusi sanad Abu Hurairah dan Aishah. Menurut Al-Zahabi, beliau juga turut berjumpa dengan Anas ibn Malik [Umar Muhammad Noor 2013: 23].
Antara buku yang mendustakan hadis Nabi ialah [ibid: 23-28]:
- Bertajuk Abu Hurairah karya Abdul Husain bin Syarafudin Al-Musawi bagi melahirkan keraguan terhadap peribadi Abu Hurairah.
- Juga bertajuk Abu Hurairah ditulis Mahmud Abu Rayyah bertujuan merosakkan imej Abu Hurairah.
Adhwa’ `ala Al-Sahihayn ditulis bertujuan mengkritik Sahih al-Bukhari dan Muslim.
Menurut pakar hadis mereka, Syahid al-Thani berkata: “Hadis sahih ialah hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi imami (bermazhab Imamiyah) yang adil dan teliti daripada perawi imamisepertinya juga menerusi rantai riwayat yang bersambung meskipun ianya syaz”.
Selain itu, terdapat juga kitab berjudul المراجعات (diskusi) yang ditulis oleh Abdul Husain Al-Musawi. Ia kononnya mengandungi perbincangan jarak jauh antara Al-Musawi dengan Syeikh Salim Al-Bisyri pemangku jawatan Syeikhul Azhar ketika itu. Namun diskusi itu sebenarnya dusta belaka. Beberapa karya ulama telah ditulis bagi membantah dan menyingkap hakikat sebenar perkara tersebut [ibid: 28]. Antaranya ialah:
-المراجعات المفتراة على شيخ الأزهر البشري  oleh Prof Dr Ali Ahmad Al-Salus
- السياط اللاذعات في كشف كذب وتدليس صاحب المراجعات oleh Abdullah bin Absyan
Al-Ghamidi
-  البينات في الرد على أباطل المراجعات oleh Mahmud Al-Za’bi





7.0       KESIMPULAN

Kesimpulannya, Shiah merupakan golongan yang sesat, mempunyai fahaman yeng berbeza daripada Ahli Sunnah, di mana mereka menganggap Ali bin Abu Talib lebih berhak menjadi khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW. Mereka juga mengkafirkan para sahabat yang lain. Kebanyakkan mereka tinggal di Iraq, Iran, Pakistan dan lain-lain lagi. Penggunaan istilah Shiah juga ada disebut di dalam al-Quran dan hadis. Di dalam al-Quran, perkataan Shiah diulang sebanyak 12 kali. Jika ditinjau melalui sejarah kelahiran Shiah, ia  bermula  apabila tragedi terpecahnya pintu fitnah yang disebut Rasulullah sebagai Umar Al-Khattab.
Ada sebahagian ulama’ Shiah seperti Syeikh Hashim dan Mihad Al-Hussin telah berpendapat bahawa Shiah ini telah wujud pada zaman Rasulullah dan baginda sendiri yang mengasaskannya. Ulama’ Shiah beriktikad bahawa al-Quran yang terdapat dalam kalangan umat Islam hari ini adalah kitab yang sudah diseleweng. Shiah juga berpandangan bahawa Sunnah bukan sahaja yang terbit daripada Rasulullah SAW, tetapi juga daripada imam-imam mereka yang maksum. Ada beberapa pendapat ahli sunnah tentang Shiah, antaranya ialah Imam Syafi’e mengatakan bahawa tidak pernah aku melihat golongan menurut hawa nafsu yang lebih penipu daripada golongan Shiah.
Shiah juga telah menulis beberapa karya untuk mengelirukan umat, antaranya ialah buku yang berbentuk pengalaman peribadi seorang pengikut Sunni yang bertukar kepada Shiah. Buku-buku ini telah banyak menipu orang ramai dengan pelbagai maklumat palsu dan pembohongan yang nyata. Contoh bukunya ialah “Mengapa Aku Memilih Mazhab Shiah, Mazhab Ahlul Bait?” karangan Syeikh Muhammad Mar’i Al-Antaki. Melalui segala penerangan ini, ia akan memberikan kesan baik kepada umat Islam supaya terhindar daripada ajaran Shiah yang membahayakan umat Islam.

DAFTAR KATA
SAW: Sallahu Alaihi Wasallam
RA: Radiyallahu Anhu
KW: Karramallahu Wajhah
ibid: ibidden
tth: tanpa tahun
RUJUKAN
Al-Quran al-Kareem.
Abdull Rahman Mahmood. 2013. Syiah Perjuangan atau Penyelewengan. Selangor.
Al-Athrasy. Ridhuan Jamal Al-Athrasy. 2012. Kelahiran, Prinsip dan Pegangan Syiah: Satu Kajian dan Penilaian. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Al-Azhari. Muhammad ibn Ahmad Al-Azhari. 1964. Tahzib al-Lughah. Jilid 3. Al-Qahirah.
Al-Musawi. Husain. 2007. I’tirafat Ulama al-Shiah.  Dar al-Haramain. Kaherah.
Al-Syahrastani. Abu Al-Fath Muhammad ibn Abdul Karim. 1982. Al-Milal Wa Al-Nihal. Dar Al-Ma’rifah. Beirut.
As-Sobuni. Muhammad Ali. 1970. At-Tibyan fi Ulum al-Quran. Darul Irsyad.
At-Tabrani. Sulaiman ibn Ahmad At-Tabrani. 1968. Mu’jam al-Kabir. Jilid 1. Darul Bayan al-Arabi.
Ibn Duraid. Muhammad ibn Hasan ibn Duraid. 1987. Jamharah al-Lughah. Jilid 3. Beirut.
Ibn Manzur. Muhammad ibn Mukram. 1966. Lisan al-Arab. Al-Qahirah.
Ibn Umar. 1987. Hukum Ulama-Ulama Islam Terhadap Shiah. Virtue Publications. Kuala Lumpur.
Ihsan Ilahi Zahir. 2008. As-Syiah wa as-Sunnah. Maktabah Bait al-Salam. Kaherah.
Mohamad Ismail. 2012. Sejarah, Konsep dan Doktrin Syiah. Selangor.
 tth. Perbezaan Aqidah antara Ahli Sunnah dan Syiah. Selangor.
Muhammad Abu Zuhrah. 1996. Tarikh al-Madhahib al-Islamiyyah. Dar al-Fikr al-`Arabi. Kaherah.
Muhammad Rabie. 1998. Akidatuna. Jilid 1. Al-Qahirah.
Salahuddin Abdullah. 1980. Asas-Asas Mazhab Syiah Imam Dua Belas. Utusan Printcorp. Kuala Lumpur.
Umar Muhammad Noor. 2013. Majalah Al-Ustaz. Telaga Biru. Malaysia.
Wan Zahidi Wan The. 2012. Akidah Imamah di Sisi Syiah Isna Asharah Dan Kesan-Kesannya Terhadap Pegangan Ahli Sunnah Dan Jamaah. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Zakaria Daud. 1996. Sejarah Kelahiran Syiah. Al-Ramadhan. Selangor.
Internet